Wednesday, 21 March 2012

ahidahbtabdullah

WANITA PENGHUNI NERAKA??????

RASULULLAH s.a.w. sewaktu Israk dan Mikraj telah diberi kesempatan oleh Allah SWT melihat ke dalam neraka. Ternyata kebanyakan penghuninya terdiri daripada wanita. Mereka menerima azab dan seksa yang amat menggerunkan.

Jika diteliti beberapa perkara yang dikaitkan dengan wanita, amat jelas masalah AURAT adalah masalah utama yang menyebabkan sebilangan besar golongan wanita diazab oleh Allah di dalam neraka, tetapi masalah ini jugalah yang paling susah hendak diterima oleh wanita.

Ada kalangan wanita menutup aurat tapi dalam masa yang sama memakai seluar ketat atau baju yang masih menampakan susuk tubuh mereka. Ada yang menutup aurat tetapi masih bergaul bebas atau masih mudah bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram mereka.

Persoalannya, apakah mereka menutup aurat kerana memenuhi tuntutan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran atau sekadar fesyen atau meniru atau sekadar melepas batuk ditangga? Kalau ini tujuannya, mereka masih terdedah kepada azab Allah atau masih jahil atau buta agama. 



WAHAI ANAK DAN ISTERI...AKU TIDAK MAHU MENJADI DAYUS!

Perlu diingat, bagi isteri yang tidak menutup aurat dan suami pula tidak pernah menyuruh isteri menutup aurat sebagai mematuhi perintah Allah malahan bangga pula kecantikan isterinya yang mendedah aurat dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka lelaki begini digolongkan sebagai lelaki dayus dan diharamkan oleh Allah untuk memasuki syurgawalaupun si suami rajin mengerjakan rukun Islam tetapi dalam masa yang sama suami ini telah derhaka dan menolak tuntutan rukun iman.

Begitu juga si bapa yang redha anak-anak perempuan tidak menutup aurat juga termasuk dalam golongan lelaki dayus. Apatah lagi jika si isteri atau si anak perempuan bebas bersalaman dengan lelaki bukan mahram serta bergaul bebas. 
Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang" 

INGINKAH ANDA MATI DALAM DERHAKA KEPADA ALLAH? 

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, Perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah? 

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak. 

Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (riwayat Muslim). Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang. 

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat. 

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi redha melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas. 

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman. Sama-samalah kita insaf bagi mencapai keredhaan Allah. 




Monday, 19 March 2012

GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979