Anda dikehendaki mengulas sebuah
artikel daripada jurnal berkaitan bahasa atau kesusasteraan Melayu.
Bahan Sastera yang dipilih:
Tajuk
Cerita: Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi
(Peristiwa-peristiwa
Dari Hikayat Hang Tuah)
1. PENDAHULUAN
Dalam masyarakat Melayu, pahlawan
Melayu yang terkenal ialah Hang Tuah. Dalam meletakkan kedudukan pahlawan Hang
Tuah di tempat tertinggi, ramai tokoh kesusasteraan Melayu membuat pelbagai
kajian dan ada kalanya pengkaji
menimbulkan berbagai-bagai kontroversi mengenai gambaran sebenar watak lagenda
Melayu ini. Oleh itu, terdapat banyak versi cerita yang ditulis oleh penulis
bagi membuat pelbagai persepsi tentang Laksamana Hang Tuah. Hal ini demikian
kerana peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Hang Tuah sangat hebat dan
sesuai jolokan Hang Tuah sebagai
pahlawan agung bangsa Melayu.
Seorang pengkaji, Kassim Ahmad
yang pernah membuat kajian mengenai teks ini,meletakkan kedudukan Hikayat Hang
Tuah sebagai sebuah karya epik. Alasan yang dikemukakan oleh beliau ialah
bahawa watak Hang Tuah itu bukan merupakan watak manusia biasa, melainkan
sebagai lambang kepada bangsa Melayu iaitu lambang kemegahan, kegagahan,
kebesaran, kesetiaan, kejayaan dan kemasyhuran kepada bangsa Melayu pada zaman
keagungan kerajaan Melayu iaitu kerajaan Melayu Melaka.
Penulisan tentang
peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang Tuah ditulis adalah contoh sastera yang
ditakrifkan sebagai sastera berunsur kebangsaan atau sastera kepahlawanan
berunsur kebangsaan kerana terkandung cerita-cerita kehebatan Laksamana Hang
Tuah. Dalam buku ini dua puluh sembilan cerita berkaitan Hang Tuah. Saya
membuat ulasan dari segi penggunaan bahasa dalam tajuk “Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi”,
2. PENGENALAN
Oleh
kerana cerita Hang Tuah yang merupakan hikayat Melayu lama yang asli, cerita-cerita
atau peristiwa yang dialami oleh Hang Tuah ini diangkat oleh para sarjana
tempatan dan antarabangsa sebagai epik Melayu. Pengertian hikayat adalah sebuah
bentuk sastera prosa dalam bahasa Melayu yang berisi tentang kisah atau cerita
dan juga dongeng tentang kehebatan maupun kepahlawanan seseorang yang
dilengkapi berbagai keanehan, kesaktian, serta mukjizat yang berhasil dibuat
seorang tokoh.
Hikayat
umumnya dijadikan sebagai bahan bacaan untuk menghibur sekaligus menjadi
pelipur lara dan juga untuk membangkitkan semangat juang orang-orang yang
membaca atau mendengarnya. Salah satu contoh hikayat sastera Melayu klasik yang
akan dipublikasikan pada tulisan ini adalah hikayat tentang Hang Tuah, iaitu
sebuah karya sastera Melayu yang paling tersohor dan bercerita tentang Hang
Tuah dalam kemakmuran Kesultanan Melaka.
Sebenarnya,
sehingga kini kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenarnya. Naskhah
tertua yang ditemui ialah naskhah Leiden (Cod. Or. 1762) yang tersalin pada
1172 H (1758 M), di Kuala Kebah, hampir dua setengah abad setelah Feringgi
menakluki Melaka, dan naskhah ini bukan naskhah asal. Cerita ini juga terdapat
dalam buku Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan Yayasan Karyawan, 2008.
Cerita
ini bertujuan untuk menunjukkan setiap bangsa haruslah mempunyai suatu akar
sebagai tempat berpaut dan berlindung. Oleh itu institusi beraja yang diamalkan
di Malaysia haruslah kita hormati. Cerita ini juga penting kerana ia
mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak awal melewati zaman pembangunannya,
ke zaman kebesarannya, hingga ke saat kejatuhannya pada 24 Ogos 1511. Hikayat
Hang Tuah juga menggambarkan sistem sosio budaya Melayu pada zaman feudalnya.
3. SINOPSIS
CERITA HANG TUAN MENUNGGANG KUDA TEZI
Saya
memilih cerita tentang peristiwa Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi untuk
tugasan ini kerana cerita ini mengandungi 5 halaman sahaja. Ini bererti
menepati kehendak tugasan yang memerlukan ulasan tentang bahan sastera yang
diambil dari jurnal atau buku.
3.1 Sinopsis
Cerita Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi
Laksamana
Tun Tuah akan melakukan apa sahaja kehendak raja untuk menunjukkan ketaatan kepada
sultan Melaka yang tidak berbelah bahagi. Kesanggupan Hang Tuah untuk berbakti
kepada tuannya tidak mengenal batas sempadan. Tidak kira sama ada sesuatu itu
benar atausalah, membahayakan diri atau tidak, asalkan ia untuk kepentingan
Raja Melaka, Hang Tuah akan melakukannya.
Sekembalinya dari Inderapura, ia
telah mempertaruh nyawanya untuk kepentingan raja. Radin Mas Ayu sudah hamil
tujuh bulan dan mengidam hendak santap air nyiur kelapa gading. Kebetulan pokok
nyiur itu dua puluh depa tingginya dan pada ssama tengahnya telah dimakan
anai-anai. Bendahara tidak membenarkan pokok itu ditebang, takut akan ada
satu-satu padahnya. Lantaran itu, tidak ada orang yang berani memanjat pokok
itu melainkan Hang Tuah.
Setelah
itu, Hang Tuah dikehendaki membawa Raden Bahar untuk bermain-main kerana raden
Bahar ingin melihat permainan kuda tezi
yang diberi oleh ninda dari Majapahit. Oleh kerana semua yang hadir itu tidak
berani untuk bermain kuda tezi, maka dengan penuh rasa taat, Hamg Tuah
menawarkan diri untuk bermain kuda Tezi sebagaimana yang dikehendaki oleh
anakanda sultan. Apabila kuda itu merasa ada orang yang menaiki badannya, maka
iapun melompat dengan tangkas. Permainan ini diiringi dengan paluan yang dibawa
dari Majapahit. Kesanggupan Hang Tuah bermain kuda tezi ini menyebabkan dia
telah dianugerahkan sepersalinan lengkap sebagai menghargai pengorbanan Hang
Tuah.
4. MENYUSURI GAYA BAHASA DALAM CERITA
PERISTIWA HANG TUAH MENUNGGANG KUDA TEZI
Objektif
penulisan saya ini adalah untuk menerangkan dan memahami dengan lebih jelas
mengenai aspek gaya bahasa yang terdapat dalam sedutan cerita Hang Tuah
menunggang kuda tezi. Penulisan ini memfokuskan tentang aspek gaya bahasa yang
terkandung dalam cerita ini. Dalam cerita ini, unsur-unsur keindahan bahasa
diaplikasikan untuk menyalurkan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema
dan persoalan. Unsur bahasa dalam cerita ini secara tidak langsung merupakan
cerminan jati diri penulis kerana khalayak dapat mengenali diri pengarang
melalui penggunaan gaya bahasa dalam cerita yang dihayati. Antara beberapa
contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam cerita ini ialah metafora,
personafikasi, simile, hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur
bahasa ini digunakan dalam cerita bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian
maksud cerita. Secara keseluruhannya, sistem ejaan
yang digunakan dalam hikayat ini ialah sistem Melayu moden. Bahasa dalam cerita
ini sebagai sebuah hasil sastera lama memang terpelihara walaupun menggunakan
system ejaan Melayu moden. Cerita ini diceritakan dalam bahasa Melayu yang
hidup, yang bersemangat, yang jauh lebih baik. Dalam usaha untuk menjadikan cerita
ini menarik, penulis telah memasukkan unsur-unsur sensasi yang berdaya menarik minat
pembaca. Khayalak pembaca amat berminat dengan kisah-kisah yang berupa sejarah,
cerita mitos, lagenda, cerita rakyat dan cerita penglipur lara. Semua
unsur-unsur ini digarap dalam gaya bahasa yang indah.
Gaya bahasa adalah cara khas
dalam menyatakan fikiran atau perasaan saat melakukan kegiatan berbahasa. Dalam
menyampaikan cerita, setiap pengarang ingin ceritanya punya daya sentuh dan
kesan yang kuat bagi pembaca. Oleh kerana sarana karya prosa adalah bahasa,
maka bahasa ini akan diolah semaksima mungkin oleh pengarang dengan
memaksimumkan gaya bahasa sebaik mungkin. Gaya bahasa (stile) adalah cara
mengungkapkan bahasa seorang pengarang untuk mencapai kesan estetik dan
kekuatan daya ungkap.
4.1 Unsur Simile
Simile
adalah jenis bahasa figuratif yang menyamakan satu hal dengan hal lain yang
sesungguhnya tidak sama. . Simile juga merupakan unsur perbandingan atau
kiasan yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya.
Pengarang menggunakan unsur simile seperti:
1.
“ Pakaian kuda itu sekaliannya daripada mas
bertatahkan ratna mutu manikam yang lakunya tiada berjijak dibumi”. Unsur-unsur
ini dapat dilihat ketika Hang Tuah dan pengikutnya pulang setelah mengunjungi
negeri Majapahit. Unsur simile “lakunya
tidak berjijak dibumi” bagi menunjukkan kemewahan kerajaan Majapahit.
2.
“Apabila kuda itu merasai orang di atasnya
belakangnya itu, maka kuda itu pun melompat seperti kilat seperti tidak
berpijak di bumi lakunya.” Unsur ini pula digunakan sebagai perbandingan untuk
menunjukkan ketangkasan larian kuda tunggangan yang disediakan untuk Hang Tuah.
Demikian, unsur simile telah
digarap dengan baik sekali untuk mengindahkan lagi gaya bahasa dalam cerita
Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi ini oleh pengarangnya. Sesungguhnya, unsur
simile ini bukan sahaja indah tetapi tepat perbandingannya.
4.2
Unsur Metafora
Metafora adalah
bentuk bahasa figuratif yang memperbandingkan sesuatu hal dengan hal lainnya
yang pada dasarnya tidak serupa. Oleh itu metafora merujuk kepada satu set
proses linguistik di mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek „diangkat
ke atas‟
atau dipindahkan kepada objek yang lain. Objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan
seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.
Kaya
dengan aspek retorikal dan biasanya juga dianggap sebagai suatu bentuk bahasa
yang luar biasa. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. pula berpendapat bahawa
metafora ialah kiasan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan seperti
seolah-olah, ibarat, seakan-akan, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan
umpama. . Dalam ayat “ Budak itu lembu ”, „lembu‟ ialah metafora. Dalam ayat “ Budak itu bodoh
seperti lembu ”, „lembu‟
ialah perumpamaan kerana terdapat perkataan „seperti‟ sebelum „lembu‟. ( Abdullah Hassan
& Ainon Mohd, Kamus Peribahasa Kontemporari,PTS Publisher, Kuala Lumpur.)
Metafora sebagai pembanding langsung tidak menggunakan kata-kata seperti dan
lain-lain. Unsur metafora cuba digarapkan dalam cerita ini dengan cara yang
agak berbeza dengan unsur simile kerana perbandingan dibuat secara terus tanpa
menggunakan kata-kata seperti, bak dan laksana. Contoh elemen ini tidak banyak
digunakan dalam cerita ini. Antara contoh adalah seperti berikut:
1.
“bermain gajah-gajahan”
2.
“maka kuda itupun melompat seperti kilat yang
tangkas”.
3.
“Maka kuda itupun disuruh menari.”
Sesungguhnya,
pengarang berjaya menggunakan unsur ini untuk memperindah gaya karangan yang
sememangnya terlalu indah itu.
4.3 Unsur Personafikasi
Unsur
ini dikenali juga sebagi unsur perorangan atau penginsanan. Selain itu penulis
cerita ini juga menggunakan unsur personafikasi yang dapat menghidupkan atau
memberikan sifat-sifat manusia pada objek-objek bukan manusia . Antara
unsur personafikasi yang digambarkan dalam satu cerita ini ialah dapat dilihat
ketika Seri Betara Majapahit memberi hadiah permainan kuda tezi kepada cucunya
iaitu anak kepada Puteri raden Galoh dan Sultan Melaka sebagai berikut:
1. “syahdan
kuda tezi seekor lengkap dengan pakaian sekali serba keemasan”
2. “Maka kuda itupun disuruh menari, pelbagai ragam
tariannya”
4.4 Unsur
Hiperbola
Unsur
Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara
berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Unsur ini digarapkan dalam
cerita bertujuan untuk membesar-besarkan sesuatu yang kecil.
Sebab
itulah pengarang sengaja menjadikan ayat “pakaian
yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-rumbaikan mutiara dan
pelananya daripada emas yang pertama”. Jelas kelihatan dalam ayat di atas
keadaan yang terlalu mustahil apatah lagi semua perhiasan itu dipakaikan kepada
seekor binatang. Selain itu, semasa raja Melaka melihat kuda tezi, keadaan ini
dapat dilihat dalam ayat:
“Maka rajapun melihat kuda itu,
hijau : sikapnya dan rupanya terlalu amat baik dan segala pakaiannya
bertatahkan ratna mutu manikam dan pelananya daripada emas permata” .
Sesungguhnya, jumlah batu-batu
permata yang gugur itu dikiaskan dalam jumlah yang amat banyak iaitu
bergantang-gantang dirasakan seperti tidak logik. Walaupun pembaca sedia maklum
bahawa kebanyakan pengisahan dalam cerita Hang Tuah tidaklah tepat, namun meraka
amat meminati cerita begini. Gambaran sebegini adalah untuk memperlihat kepada
pembaca tentang kepahlawanan Hang Tuah yang semangnya sangat hebat di rantau
Asia Tenggara.
4.5 Unsur Interior Monolog Unsur
Interior monolog atau monolog dalaman bermaksud kata-kata hati yang dilafazkan
oleh sesebuah watak dalam cerita. Dalam perlukisan watak-wataknya, pengarang penulis
cerita Hang Tuah Menunggang Kuda Tezi ini telah memasukkan unsur-unsur
perwatakan dengan amat berkesan seperti unsur interior monolog, contohnya, :
1. “Andainya Tuan Puteri Maas Ayu
membenarkan aku membawa anakanda baginda ke luar”
2. “ terlalu sukacita ayahanda
dan bonda mendengar berputera”
Unsur ini berbeza daripada unsur
monolog kerana ia fikiran di dalam hati yang tidak diucapkan. Unsur-unsur
tersebut telah digarap melalui watak oleh pengarang dengan licin dan meyakinkan. Unsur interior monolog tidak banyak terdapat
dalam cerita ini kerana ceritanya sangat pendek.
4.6 Unsur
Repetisi Repetisi
adalah perulangan bunyi, suku kata, kata atau bahagian ayat yang dianggap
penting untuk memberi tekanan dalam sebuah konteks yang sesuai Keraf
(1996:127). Unsur repetisi yang sama juga turut didapati dalam cerita ini. Jika
dilihat secara terperinci , terutamanya tajuk cerita ini, saya mendapati tidak
kurang daripada 4 kali pengulangan kata nama tuanku diulang bagi menegaskan tentang kebesaran seorang raja
Melayu. Antara contoh petikan:
1. “Ya tuanku, jikalau paduka
anaknda ini hendak dibawa keluar, baiklah dengan perintah dan menyandang tetampan kerajaan.”
2. “Ya tuanku, terlalu sukacita
ayahanda dan bonda mendengar berputera”
3. “Ya tuanku paduka Betara,
utusan ratu anakanda raja Melaka.
4. “Daulat tuanku, apatah
takutkan naik kuda ini? Syahdan patik mohonkan ampun dan kurnia, adakah
hulubalang itu tidak tahu naik kuda atau gajah?
Pengulangan kata ini memberi
pengertian kepada kebesaran raja. Hal ini sedemikian kerana menunjukkan akan
kekuasaan raja dan kedaulatan seseorang raja Melayu. Fungsi raja-raja
Melayu adalah symbol ketaatan rakyat
yang tidak berbelah bahagi terhadap raja. Rakyat juga akan menerima apa sahaja
arahan yang diberikan oleh raja dan akan dilaksanakan tanpa bantahan. Ini dapat
dibuktikan dengan sifat ketaan Hang Tuah terhadap raja Malaka.
5. KESIMPULAN
Kepelbagaian
atau anekaragam seni keindahan bahasa dalam teks sastera hikayat dapat
menambahkan keindahan dan mengelakkan kejemuan. Bahasa yang puitis yang
digunakan dapat memberi kesan kepada pembaca yang menghayati rentetan peristiwa
bahan yang dibaca. Karangan indah
sesebuah karya bercorak sastera hikayat oleh pengarang yang arif lagi
bijaksana, mampu menghasilkan pengaruh yang menenangkan dan menyembuhkan jiwa
(menglipur) pembaca. Justeru, V.I. Braginsky dalam buku karangannya bertajuk Yang
indah, berfaedah dan kamal: sejarah sastera Melayu dalam abad 7-19 menyifatkan
karya sastera Melayu klasik sebagai, „alat penglipur atau penghibur hati yang
mudah difahami sebagai salah satu di antara fungsi-fungsinya yang terpenting. Ayat-ayat
yang mudah tanpa kata kata hubung banyak terdapat dalam penulisan ini
Menurut
Shafie Abu Bakar, peningkatan sesebuah karya sastera yang baik boleh dilihat
daripada dua aspek iaitu lahiri dan maknawi. Lahiri merujuk kepada teknik di
dalam pengkaryaan yang melibatkan bentuk, struktur, plot, watak, bahasa dan
sebagainya yang dapat dilihat. Maknawi pula merujuk kepada isi, tema, idea,
mesej, sudut pandangan, nilai dan sebagainya. Kesemuanya elemen terangkum di
dalam membina sesebuah karya sastera. Proses pembinaan karya secara kreatif,
indah, dan sempurna merupakan takmilah sastera.
BIBLIOGRAFI
A Bakar Hamid, (1979) Peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang
Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka
Abu Hassan Abdul dan Abd Rashid Md Idris.(2012). Modul
BMK 3043:Seni Mengarang, Tanjong Malim: Penerbit UPSI.
Kassim Ahmad. Kajian Hikayat Hang Tuah. Dilayari
pada 27 Mac 2013 di URL http://smsohhtb3.blogspot.com/ Majlis Peperiksaan
Malaysia.(2012). Permata Satera Melayu, Kuala Lumpur:Dewan Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mohamad Azmi Ab. Rahman.(2004). Kesusasteraan
Melayu:Dimensi Bahasa dan Pemikiran. Sintok: Penerbit UUM.
Wikipedia Ensiklopedia Bebas. Hikayat Hang Tuah. Dilayari
pada 27 Mac 2013 di URL http://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Hang_Tuah
No comments:
Post a Comment